Minggu, 20 Desember 2009

KEADILAN HARUS DI TEGAKAN

ALLAH SWT berfirman:

Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu meletakkan amanah kepada mereka yang sepatutnya. Dan bila kamu menghukum di kalangan manusia, menghukumlah dengan adil.
(An Nisa’: 58)

Berlaku adillah kamu. Sesungguhnya ia lebih hampir untuk mencapai kepada taqwa.
(Al Maidah: 8)

Rasulullah SAW bersabda: maksudnya:
Ada tujuh golongan yang ALLAH memberi perlindungan-Nya di hari yang tiada perlindungan selain perlindungan-Nya. Mereka ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadah untuk Tuhannya, lelaki yang hatinya berpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang saling bercintaan kerana ALLAH, mereka bertemu dan berpisah pun kerana-Nya. Dan seorang lelaki yang digoda oleh perempuan yang ada kedudukan dan kecantikan, lalu dia berkata, “Aku takut kepada ALLAH Tuhan sekalian alam.” Dan lelaki yang bersedekah (berderma) secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, dan lelaki yang mengingati ALLAH sewaktu sunyi, lalu mengalir air matanya.
(Riwayat Al Bukhari)

Dalam sabda Rasulullah yang lain:
Keadilan sesaat (bagi seorang pemimpin) lebih baik dari beribadah selama 60 tahun.

Demikian betapa jelasnya Islam memerintahkan manusia supaya berlaku adil. Keadilan adalah satu sifat terpuji (mahmudah) yang sangat dituntut. Sebaliknya, zalim yakni tidak adil adalah sifat jahat (mazmumah) yang sangat keji dan dibenci. Oleh itu setiap orang dari kalangan umat Islam mestilah bersungguh-sungguh bermujahadah untuk mendapatkan sifat adil ini. Supaya walau di mana pun kita berada atau bekerja, kita dapat bertindak dengan adil. Adil dalam memimpin, kalau kita seorang pemimpin, seperti raja, khalifah, perdana menteri, presiden, gabenor dan pemimpin jemaah. Adil dalam berpolitik kalau kita orang politik. Adil dalam berpendidikan, bila kita mengendalikan tugas-tugas pengajian dan pendidikan. Adil dalam perhubungan kalau kita ditugaskan sebagai pegawai perhubungan.

Adil dalam masalah sosial kalau kita dipertanggungjawabkan dalam hal-hal kebajikan sosial. Adil dalam pertanian, kalau kita seorang petani. Adil dalam hukuman atau perundangan sewaktu berurusan dalam perkara-perkara tersebut. Adil dalam pekerjaan sewaktu kita bekerja dan lain-lain lagi. Keadilan yang sangat diutamakan ialah dalam urusan memimpin sama ada oleh pemimpin besar atau pemimpin kecil, pemimpin umum atau pemimpin di bidang-bidang tertentu, pemimpin negara atau pemimpin negeri atau pemimpin kawasan dan lain-lain lagi.

Pemimpin yang adil akan diterima oleh fitrah semua manusia sekalipun orang bukan Islam. Kerana inginkan keadilan adalah fitrah setiap jiwa. Kerana itu pemimpin yang adil akan disanjung, disayang, ditaati dan dipercayai. Kepimpinannya diterima baik oleh rakyat. Kerana itulah dalam Islam seorang pemimpin yang adil disukai rakyat. Wajib baginya memerintah seumur hidup (sampai mati) kecuali kalau didapati ia sudah tidak mampu untuk berlaku adil atau uzur syar’i, maka wajiblah ia menarik diri untuk diganti oleh orang lain. Ertinya, dalam ajaran Islam, orang yang adil saja yang boleh memerintah sama ada sebagai raja, khalifah, perdana menteri, presiden, gabenor, hakim, wali nikah, saksi-saksi dan lain-lain lagi. Jika orang itu tidak adil, tidak boleh mereka itu menjadi pemimpin atau memegang lain-lain tugas seperti yang disenaraikan.

Mengapa sifat adil ini begitu penting dalam kepimpinan menurut Islam? Kerana di sanalah letaknya nasib baik masyarakat yang dipimpinnya. Pemimpin yang tidak adil akan merosakkan kehidupan masyarakat, hingga dengan itu akan menimbulkan perasaan tidak puas hati pada rakyat. Dari sana nanti mereka akan berkrisis, hilang kasih sayang, timbul hasad dengki, dendam-mendendam, jatuh-menjatuhkan dan sebagainya. Realiti ini dapat kita saksikan di saat ini dalam masyarakat yang tidak menjalankan keadilan secara syumul dalam semua bidang kehidupan, maka penzalimanlah yang bermaharajalela.

Tetapi aneh sekali, dalam bermaharajalelanya ketidakadilan yang bukan rahsia lagi ini, para pemimpinnya tetap mahu menyatakan merekalah adil, sekalipun sudah didedahkan oleh kawan kawan mereka sendiri perihal zalimnya mereka itu. Ternyata bahawa erti zalim dan adil itu sudah diterbalikkan. Yang zalim dikatakan adil, yang adil dikatakan zalim. Pembohongan kepada kebenaran sudah hampir-hampir complete jadinya. Maka akibatnya pun sudah begitu total dan memuncak.

Kesakitan yang sedang terasa oleh banyak pihak sekarang ini adalah bentuk-bentuk neraka dunia yang mereka ciptakan sendiri. Yang mereka tidak sanggup untuk menanggungnya, ‘apalagi terhadap Neraka di Akhirat. Maka sudah sepatutnya kita umat Islam menilai kembali erti keadilan itu. Istilah sama rata dari sama rasa yang diertikan kepada perkataan adil itu atau pengertian adil yang dikaitkan dengan hukuman yang saksama kepada pesalah sepadan dengan kesalahan yang dibuat, temyata gagal sama sekali dalam perlaksanaannya. Kegagalan itu sampai membuatkan kawan berkrisis dan berperang dengan kawannya sendiri.

Mereka sama-sama menyeksa diri mereka, berpunca dari kejahilan sesama mereka tentang erti kebenaran dan keadilan yang sebenar. Rujukan kita yang tepat kepada masalah ini ialah ALLAH dan Rasul. Yang kepada-Nya kita selalu menadah tangan, berbisik memohon pertolongan-Nya. Dia yang telah mewahyukan Al Quran dan Hadis, yang kitab itu saat ini tersimpan kemas dalam almari-almari di rumah kita.

Dalam Al Quran jelas sekali perintah-perintah yang menyuruh manusia berlaku adil. Tetapi ke arah perlaksanaan hukum adil itu, ALLAH mengajar kita untuk sering bertaubat kepada-Nya. Taubat yang paling agung adalah ucapan penyesalan Nabi Yunus ketika beliau ditelan oleh ikan Nun. Al Quran ada merakamkan ayat itu:

Tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau sesungguhnya aku tergolong dari orang yang zalim.
(Al Anbia’: 87)

Rasulullah SAW, Nabi kita itu, sekalipun maasum sifatnya, tetapi sehari semalam 70 kali baginda beristighfar. Hikmahnya, supaya umatnya tidak lupakan amalan yang penting ini. Amalan yang menjadi kunci kepada sifat adil itu. Yakni apabila seseorang selalu merasa berdosa, zalim dan tidak adil, maka rasa itulah yang mendorong agar ia berusaha untuk berbuat baik dan adil. Sebaliknya, siapa yang selalu confident yang dirinya sudah baik, maka bermulalah sifat bangga, sombong, kejam dan zalim itu. Demikianlah pandangan Islam tentang cara-cara untuk menjadikan seseorang itu betul-betul adil. Adil dalam seluruh langkah dan ruang hidup. Keadilan secara syumul, bukan serpihan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar